Saturday, April 18, 2009

pantang larang

Warna Kehidupan: Pantang larang Melayu lama

Oleh Tuan Nur Suhaila Raja Muhammad
bhsastera@nstp.com.my

Jaga adab, hubungan masyarakat dan alam sekitar

MASYARAKAT Melayu lama kaya dengan pantang larang yang diwariskan kepada anak masing-masing dalam usaha mereka menjaga perlakuan keluarga dan hubungan sesama anggota masyarakat mahupun kepada alam sekitar.

Sekali dengar sesetengah pantang larang Melayu lama seakan-akan menyekat kebebasan individu


dan kedengaran seperti tidak masuk di akal, meskipun hakikatnya pantang larang yang dikenakan itu dapat dilihat ‘kebenarannya’ sehingga kini.

Sesetengah orang melihat pantang larang Melayu lama tidak lagi sesuai diamalkan pada masa kini kerana bimbang boleh memesongkan akidah masyarakat khususnya dalam hal berkaitan kejadian, jodoh, rezeki, ajal dan maut kerana ia di tangan Ilahi.

Bagaimanapun jika diteliti sesetengah daripada pantang larang Melayu lama ada sumbangan tersendiri kepada masyarakat dan boleh diterima pakai sehingga ke hari ini apalagi tidak kurang yang mempunyai nilai menjaga kesihatan.

Pantang larang mandi malam umpamanya bertujuan untuk menjaga kesihatan pelaku yang terbukti akan mudah diserang pneumonia dan begitu juga dengan kecenderungan meminum air batu bagi mengelakkan individu mudah dijangkiti selsema mahupun demam.

Larang membiarkan tempayan beras di rumah kosong dengan alasan memendekkan rezeki sebenarnya bagi memberi peringatan kepada tuan rumah agar sentiasa bersedia menerima tetamu dan tidak lokek menjamu mereka.

Begitu juga dengan larangan membuang air di tempat yang tidak sepatutnya dengan alasan akan dimarahi penunggu sehingga mendatangkan penyakit, hakikatnya bertujuan menjaga adab dan kebersihan alam sekitar.

Bagi gadis pula yang dilarang menyanyi di dapur kerana dibimbangi lambat mendapat jodoh, hakikat bertujuan memastikan mereka memberi tumpuan dalam pekerjaan yang dilakukan serta mengelakkan daripada berlakunya pembaziran sekiranya masakan hangus kerana leka berhibur.

Larangan makan dalam pinggan sumbing kerana hutang akan bertimbun sebenarnya perbuatan itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw dan memudahkan diri dijangkiti kuman yang berkumpul pada bahagian yang rosak itu.

Tidak ketinggalan larangan memakan kepala ikan dengan alasan akan menyebabkan seseorang itu lambat menghafaz pelajaran sebenarnya turut diterima pakai dalam amalan melahirkan tahfiz sehingga hari ini.

Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM), Siti Nor Awang, menafsir pantang larang yang diamalkan dalam masyarakat Melayu dulu sebagai panduan hidup mengenai perkara yang boleh dilakukan, larangan dan wajar.

“Masyarakat tradisional belajar sesuatu melalui lisan dan pantang larang yang menjadi amalan disampaikan dari generasi ke generasi berbanding masyarakat tamadun terdahulu yang belajar melalui tulisan mahupun manuskrip,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baginya pantang larang dalam masyarakat Melayu ialah sesuatu yang dipersetujui mengenai perkara tertentu untuk dijadikan panduan hidup selain ‘dihormati’ dalam usaha melahirkan keharmonian bermasyarakat dan mewakili nilai mahupun norma sepunya.

Siti Nor berkata, pantang larang juga bertujuan melahirkan masyarakat sihat seperti dapat dilihat melalui larangan mandi pada waktu malam yang sebenarnya mengelakkan pengamalnya daripada diserang pneumonia jika sudut perubatan semasa digunakan dalam menilai perkara itu.

“Masyarakat Melayu lama cerdik dalam menyampaikan ‘peraturan’ dengan darjah keseriusan berbeza

dan ia dapat dilihat melalui kesan dan akibat yang dikatakan berhubung perbuatan melanggar larangan yang ditetapkan,” ujarnya.

Melarang ahli keluarga meniarap sambil menyilang kaki ke atas dengan alasan ibu pelaku cepat meninggal dunia sebenarnya bagi menjaga kehormatan diri manakala duduk di atas bantal menyebabkan bisul lebih kepada kawalan perlakuan bersopan.

Pensyarah Kanan, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad, melihat pantang larang menurut sudut agama dan adat yang

diwarisi daripada nenek moyang, wajar diamalkan selagi tidak bercanggah serta selari dengan kehendak al- Quran mahupun sunnah.

“Orang Melayu lama mengadakan pantang larang berdasarkan pengalaman mereka sehingga ia sebati dalam pemikiran masyarakat dengan sesetengahnya bertentangan wahyu Allah SWT. Pantang larang yang berbau khurafat dan bertentangan dengan al-Quran serta sunnah, wajar ditinggalkan,” jelasnya.

Dr Nik Mohd Rosdi berkata, sesetengah pantang larang orang Melayu yang berkait dengan kuasa ghaib sebenarnya bertujuan menimbulkan rasa takut pada masyarakat dan dipercayai sepenuhnya, sewajarnya diubah dengan mendahulukan akidah dan ajaran Islam.

“Dengan mendahulukan akidah dan ajaran Islam dalam perkara berhubung pantang larang, kita masih mengekalkan tujuan baik iaitu menghindarkan perkara buruk menimpa diri dan membendung diri daripada melakukan sesuatu perbuatan tidak sopan,” katanya.

Ikan Pari

Ikan Pari atau nama saintifiknya Dasyatis uarnak adalah sejenis ikan yang sedap dimakan dan terdapat diseluruh dunia.

Ikan Pari adalah bersaudara dengan ikan jerung. Tetapi tidak seperti ikan jerung, yang merupakan pemangsa yang menggerunkan dengan rahang yang berkuasa, ikan pari jarang sekali menugut manusia dan mulutnya yang kecil bukanlah ancaman sama sekali.

Berhampiran pangkal ekor ikan pari terdapat taji sekitar 8-inch yang diselitupi dengan bahan yang sama yang membentuk sisik yu, yang dikenali sebagai dermis dentikle (dermal denticles). Hujung ini, yang menjadi keras dan tegang apabila ikan pari merasa terancam, berbentuk seperti pisau daging bergerigi dan memiliki bisa yang mengancam pemangsa.

Sebahagian besar racun itu sendiri adalah toksin berasaskan protein yang menyebabkan kesakitan pada mamalia dan boleh juga mengubah kadar degupan jantung dan pernafasan, mengikut pada Makmal Mote Marine.

Ikan pari jarang menyerang manusia, bagaimanapun sekiranya ia dipijak, ikan pari akan menggunakan tajinya sebagai satu bentuk mempertahankan diri," mengikut Nancy Passarelli dan Andrew Piercy bagi Florida Muzium Sejarah Semulajadi. "Walaupun ditikam oleh ekor ikan pari amat menyakitkan, ia adalah jarang menjadi ancaman kepada nyawa manusia."

Terdapat kira-kira 200 spesies ikan pari. Ia terdapat di kedua-duanya air tawar dan di lautan. Kebanyakannya tidak mempunyai keupayaan untuk menyengat.

Tips utk jadi suami mithali

  • Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

  • Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.
  • Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa.
    Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.
  • Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.
  • Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari ?
  • Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.
  • Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.
  • Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.
  • Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.
  • Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

  • Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.
  • Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuaratmenarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.
  • Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?
  • Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakkan cakap tak serupa bikin.
  • Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumahtangga terancam.
  • Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera
  • Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.
  • Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.
  • Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri.
    Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri.
    Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?
  • Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.
  • Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami.Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.
  • Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.
  • Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.
  • Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.
  • Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.
  • Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.
  • Sentiasa berubah secara positif. Sebelum
    cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.
  • Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.
  • Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.
  • Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki
    cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.
  • Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka, endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.
  • Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.
  • Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.
  • Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiapperbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?
  • Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.
  • Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.
  • Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.
  • Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.
  • Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.
  • Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.
  • Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.
  • Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melaui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.
  • Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.
  • Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.
  • Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.
  • Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.
  • Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.
  • Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.
  • Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.
  • Urus stres dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas. lakukan riadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.